

Pengenalan Kepada Mitosis
Semua organisma multisel bermula daripada satu sel tunggal, iaitu zigot yang seterusnya membahagi dan membentuk dua sel, kemudian empat sel, lapan sel, enam belas sel, dan seterusnya. Proses pembahagian sel ini dikenali sebagai mitosis. Bagi manusia, mitosis (pembahagian sel) daripada zigot menghasilkan embrio yang terus membahagi berulang kali semasa perkembangan dan pertumbuhannya sehingga menjadi bayi yang sempurna untuk dilahirkan. Bayi yang dilahirkan seterusnya mengalami pembahagian sel untuk pertumbuhan dan perkembangan sehingga menjadi dewasa. Pembahagian akan sentiasa berlaku untuk memastikan organisma itu dapat membaiki sel yang rosak dan menggantikan sel-sel yang mati. Pembiakan aseks bagi organisma unisel melibatkan pembahagian sel, misalnya Amoeba membiak secara aseks secara belahan dedua untuk menghasilkan dua sel baru yang seiras dengan induknya; setiap sel baru berkembang dan menjadi organisma Amoeba yang menyerupai induknya.
Apakah itu mitosis?
Mitosis ialah pembahagian sel yang berlaku dalam sel soma untuk menghasilkan dua sel anak di mana setiap nukleus anak ini mengandungi bilangan kromosom dan kandungan genetik yang seiras dengan nukleus sel induk.
Pengertian mitosis
Sel badan organisma boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu sel
soma (terhasil melalui proses mitosis) dan sel gamet (terhasil melalui proses
meiosis). Setiap sel soma dalam spesis yang sama mempunyai bilangan kromosom
yang tetap dan wujud berpasangan; keadaan ini disebut diploid atau
2n, di mana n adalah bilangan kromosom. Setiap sel dikatakan
mempunyai dua set kromosom. Sel soma manusia mempunyai 46 kromosom atau 23
pasang kromosom (2n = 46). Sel gamet atau sel pembiakan pula mengandungi satu
set kromosom atau haploid (n) dalam setiap sel. Maka bilangan
kromosom dalam sel gamet manusia (sel sperma dan sel ovum) ialah 23 (n = 23).
Spesis yang berbeza mempunyai bilangan kromosom yang berlainan dalam sel somanya,
misalnya sel jagung mempunyai 20 kromosom manakala bari-bari mempunyai 8
kromosom. Pembahagian sel sebenarnya melibatkan dua jenis pembahagian, iaitu
pembahagian nukleus (kariokinesis) dan pembahagian sitoplasma (sitokinesis).

Kepentingan Mitosis
Menambahkan bilangan sel yang seiras dengan sel induk untuk proses
pertumbuhan dan perkembangan organisma.
Index Page2 Page3 Page4 Page5 Page6